30 Ogos 2007

Bengkel Penyediaan Direktori Profil Pusat Akses Sekolah Daerah Muar

Bengkel telah dijalankan pada hari Khamis, 30 Ogos 2007 di Pusat Kegiatan Guru Parit Bunga, Muar. Bengkel ini diketuai oleh Encik Aziz bin Atan, Pegawai Teknologi Pendidikan PKG Bakri, Muar. Aktiviti yang dilaksanakan ialah teknik penyuntingan grafik dan teknik import grafik dalam dokumentasi profil Pusat Akses Sekolah.
Disamping itu juga, Penghulu PKG Daerah Muar, Encik Mohd Arshad bin Haron (PTP PKG Parit Bunga, Muar) telah membentang beberapa perkara penting bagi melaksanakan aktiviti Jejak Maklumat Sekolah Menengah dan Rendah bagi mewakili daerah Muar. Encik Sha'piee bin Ali dan Encik Asha'ari bin Omar telah membentangkan minit curai Mesyuarat Pengurusan PSPN dan PKG Johor Kali 1/2007 yang telah diadakan pada 27 Ogos 2007 yang lalu, untuk tindakan semua PTP PKG Daerah Muar.

29 Ogos 2007

Tayangkaji Modul Akses Kendiri Berasaskan ICT Bagi Mata Pelajaran Ekonomi Rumah Tangga

Tayangkaji tersebut telah dilaksanakan pada hari Rabu, 29 Ogos 2007 di PKG Parit Jawa, Muar, mulai jam 02.00 hingga 05.15 petang. Puan Hajah Sutinah binti Abdullah, Penyelia Kanan Unit ERT JPNJ sebagai Pengurus Projek telah hadir bersama tiga orang Pakar Kandungan iaitu Puan Jamilah, Puan Suzana dan Puan Khadijah. Encik Sha'piee bin Ali, Encik Khalid bin Mohd Salleh dan Encik Yahya bin Seikh Salleh turut hadir sebagai Pegawai Teknikal merangkap pembangun perisian modul ini.
Aktiviti yang dijalankan ialah menyelaraskan isi kadungan dengan peta struktur (struktur kurikulum), menentukan bahan sokongan perlu bagi setiap unit kecil isi kandungan dan bahan latihan yang telah disediakan dalam bentuk interaktif. Beberapa penambahbaikan perlu disediakan bagi memantapkan proses pengarangan seterusnya.

28 Ogos 2007

Mesyuarat Pengurusan PSPN dan PKG Johor Kali 1/2007

Sungai Balang, Isnin 27 Ogos 2007 - Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Tuan Haji Paridin bin Jais, Ketua Penolong Pengarah, Pusat Sumber Pendidikan Negeri Johor, yang berlangsung mulai jam 09.45 pagi hingga jam 06.15 petang. Dalam mesyuarat ini KPP telah menyarankan beberapa perkara penting, antaranya ialah Pengurusan Kewangan dan Pentadbiran, Kenaikan Pangkat, Laporan Unit PSPN, Laporan PKG mengikut daerah dan juga isu-isu semasa dalam pengurusan dan pentadbiran PSPN dan PKG Johor khususnya. KPP juga menyarankan supaya semua tugasan dan arahan rasmi yang terkandung dalam Sasaran Kerja Tahunan dipatuhi dan perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Sebarang masalah hendaklah diajukan ke Unit Jaminan Kualiti PSPN Johor yang diketuai oleh Tuan Haji Ishak bin Haji Mahbob. Semua Penolong Pengarah (kecuali Encik Yusma bin Yusof), semua wakil daerah (4 orang bagi setiap daerah) telah hadir.

KPP PSPN Johor bersama Pengerusi PKG Sungai Balang

Sempena Mesyuarat Pengurusan Pusat Sumber Pendidikan Negeri Johor dan Pusat Keguatan Guru Negeri Johor Kali Pertama 2007, pada hari Isnin, 27 Ogos 2007 di Pusat Kegiatan Guru Sungai Balang, Muar, Tuan Haji Paridin bin Jais, Ketua Penolong Pengarah, Pusat Sumber Pendidikan Negeri Johor telah mengadakan kunjungan mesra ke Sekolah Kebangsaan Orangkaya Ali, Muar, dimana Guru Besar, Puan Nora binti Abdullah juga sebagai Pengerusi PKG Sungai Balang. Dalam pertemuan ini, Tuan KPP PSPN Johor telah mendapat maklumat berhubung dengan perhubungan dan kerjasama baik yang telah sekian lama terjalin antara pihak pengurusan sekolah dan PKG. Beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas hubungan ini dan berharap ianya berterusan bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara.

22 Ogos 2007

Latihan Kemahiran Aplikasi Perisian Pengurusan Data PSS

Bengkel/Latihan Kemahiran Aplikasi Perisian Pengurusan Data PSS dianjurkan bersama Pejabat Pelajaran Daerah Muar dengan Pusat Kegiatan Guru Sungai Balang, Muar, pada 22 dan 23 Ogos 2007. Perisian aplikasi yang digunakan ialah Microsoft Excel. Kemahiran ini perlu bagi peserta menyediakan dokumen PSS dan juga pengurusan semasa di sekolah. Semoga aplikasi ini dapat dimanafaatkan oleh peserta semasa melaksanakan tugas harian di sekolah yang berkaitan dengan pengurusan data Pusat Sumber Sekolah.
Fasilitator latihan ini ialah Encik Sha'piee bin Ali, Puan Norazilawati binti Husin dan Puan Nor Azizah binti Haji Saim.

21 Ogos 2007

Bengkel Pembangunan Modul Akses Kendiri ICT

Bengkel tersebut diadakan mulai 20 hingga 29 Ogos 2007 di PKG Sungai Balang, Muar. Antara lain aktiviti yang dilaksanakan ialah membangunkan struktur kurikulum berdasarkan peta struktur dan carta alir, merekabentuk pengarangan modul latihan akses kendiri, penambahbaikan isi kandungan dan bahan penilaian serta penyuntingan grafik sokongan.
Pembangun teknikal yang terlibat ialah Encik Sha'piee bin Ali (PTP PKG Sungai Balang, Muar), Encik Khalid bin Mohd Salleh (PTP PKG Parit Jawa, Muar) dan Encik Yahya bin Seikh Salleh (PTP PKG Bagan, Batu Pahat). Hadir sama Tuan Haji Ishak bin Haji Mahbob, Penolong Pengarah Kanan, Pusat Sumber Pendidikan Negeri Johor. Puan Jamilah selaku guru pembangun isi kandungan hadir pada sebelah pagi - menyerahkan dokumen sokongan dan bahan latihan.
Puan Hajah Sutinah binti Abdullah (Penyelia ERT JPNJ) serta tiga orang guru akan hadir pada 29 Ogos 2007 bagi menilai status pembangunan perisian ini.

14 Ogos 2007

Sistem Aplikasi Rekod Penggunaan Pusat Akses Sekolah Secara "Online"

PSPN Johor telah mengorak langkah proaktif bagi melaksanakan Sistem Aplikasi Rekod Penggunaan Pusat Akses Sekolah Secara "Online" bagi memantau penggunaan Pusat Akses Sekolah. Bagi merealisasikan penggunaan sistem ini, semua PKG telah diminta untuk melaksanakan Konfigurasi Sistem Aplikasi seperti pendaftaran alamat IP dalam Smatpen, Konfigurasi alamat sistem dalam setiap komputer di Pusat Akses dan memantau penggunaan secara online melalui Aplikasi Smatpen (seperti image yang dilampirkan). Sistem ini boleh memaparkan laporan harian, bulanan dan tahunan. Dengan adanya sistem ini, dokmentasi pelaporan secara lebih terperinci dapat dikesan. TAHNIAH UNTUK PSPN JOHOR!!!

01 Ogos 2007

Khidmat Bantu Pembangunan Perisian Kursus Akses Kendiri Berasaskan ICT Mata Pelajaran ERT

PKG Bagan, Batu Pahat, 01 Ogos 2007 - Khidmat Bantu Pembangunan Perisian Kursus Akses Kendiri Berasaskan ICT bagi Mata Pelajaran Ekonomi Rumah Tangga (ERT) Tingkatan 4. Pembangun yang terlibat ialah En Sha'piee bin Ali (PTP PKG Sungai Balang, Muar), En Khalid bin Mohd Salleh (PTP PKG Parit Jawa) dan En Yahya bin Seikh Salleh (PTP PKG Bagan, Batu Pahat). Alat pengarangan yang digunakan ialah Macromedia Authorware Versi 7.02 yang dibekalkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Pembangunan perisian ini akan mengambil masa dua hingga tiga minggu bagi penyediaan CD prototype untuk tujuan tayangkaji.

31 Julai 2007

Bengkel/Latihan Pembangunan Bahan Kolaborasi "On-Line"

PKG Sungai Balang, Muar dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Muar telah melaksanakan aktiviti ini pada 31 Julai 2007 di Pusat Kegiatan Guru Sungai Balang, Muar. Aktiviti in dijalankan bagi merealisasikan Aplikasi Pusat Akses Sekolah.
Antara kandungan bengkel/latihan ialah pendaftaran guru dan murid, "Manage Account", peranan dan aplikasi "Admin Tools", aplikasi web tools (Write, Media and Interact). Semua sekolah yang telah dilengkapkan dengan prasarana pusat akses telah mengikuti bengkel/latihan ini. SK Parit Bulat (Sekolah Kurang Murid dan belum mempunyai kelengkapan pusat akses) dijemput sama kerana sekolah ini mempunyai Pusat Sumber Sekolah yang cemerlang di peringkat daerah dan negeri. Fasilitator bengkel/latihan ini ialah Encik Sha'piee bin Ali, Puan Norazilawati binti Husin dan Puan Nor Azizah binti Haji Saim.
Setiap sekolah dicadangkan melatih guru dan 5 orang murid untuk menyediakan bahan tambahan di pusat akses masing-masing.

29 Julai 2007

Seminar Pendidikan Daerah Muar 2007

Seminar Pendidikan Daerah Muar 2007 telah diadakan pada 27 hingga 29 Julai 2007 di Hotel AnCasa, MITC Air Keroh, Melaka. Seminar ini diadakan sempena Sambutan Hari Guru, dianjurkan bersama Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Muar, Persidangan Kebangsaan Pengetua Sekolah Menengah (PKPSM-Muar), Majlis Perwakilan Perhubungan Pelapis Pendidikan (M4P), Majlis Sarjana Muar (MSM), Majlis Guru Besar (MGB-Muar) dan Majlis Guru Cemerlang (MGC-Muar).
Pusat Kegiatan Guru (PKG) Daerah Muar telah diundang untuk menyertai seminar ini dan ditugaskan untuk membentang satu kertas kerja yang berjudul - Pengoperasian PKG. Antara lain kandungan kertas kerja ialah peranan dan fungsi PKG, Sasaran Kerja Tahunan PKG, fokus SKT dan aktiviti utama PKG. Kertas kerja ini telah dibentangkan oleh Encik Sha'piee bin Ali, Pegawai Teknologi Pendidikan PKG Sungai Balang, Muar, pada hari Sabtu, jam 12.00 pagi. Pegawai PKG yang menyertai ialah En Khalid Mohd Salleh (PTP PKG Pt Jawa), En Baharom Haron (PTP PKG Jalan Tunku Bendahara), En Abu Saifuddin Abu Hanipah (PTP PKG Tangkak), En Adnan (PTP PKG Pt Bunga), En Abd Rahman (PTP PKG Serom), Pn Teh Teow Yen (PTP PKG Bakri) dan Pn Anita Ibrahim (PTP PKG Pt Setongkat).
Majlis penutupan rasmi telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Tuan Haji Jamian bin Jaffar, Timbalan Pengarah Pelajaran Johor. Beliau juga telah meyampaikan Sijil Penghargaan (Pembentang Kertas Kerja) dan Sijil Penyertaan (Peserta Seminar).