29 Oktober 2007

Khidmat Bantu Pembangunan Modul Akses Kendiri ICT ERT

Khidmat bantu ini telah dilaksanakan melalui Mesyuarat Penyediaan Modul Pembelajaran Kendiri ICT Mata Pelajaran ERT di SMK Dato Abd Rahman Andak, Sempang Rengam, Kluang, Johor. Khidmat bantu ini dijalankan pada hari Isnin, 29 Oktober 2007, mulai jam 09.00 pagi hingga 05.00 petang. Semua pembangun isi kandungan dan pengarangan telah hadir. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Puan Hajjah Sutinah binti Abdullah, Penyelia Kanan Unit ERT, Jabatan Pelajaran Johor. Pegawai Teknologi Pendidikan PKG yang terlibat ialah Tuan Haji Sha'piee Ali (PKG Sungai Balang, Muar), Encik Khalid Mohd Salleh (PKG Parit Jawa, Muar) dan Encik Yahya Seikh Salleh (PKG Bagan, Batu Pahat).

26 Oktober 2007

SK Pt Bulat - Johan Pengurusan TVP Negeri Johor

Khamis, 25 Oktober 2007 - SK Parit Bulat Muar telah dianugerahkan sebagai Johan Pengurusan TV Pendidikan Peringkat Negeri Johor Tahun 2007. Anugerah ini telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Mokhy bin Haji Saidon, Pengarah Pelajaran Johor, sempena Majlis Anugerah Pusat Sumber Sekolah Cemerlang Peringkat Negeri yang diadakan di Johor Bahru.

Lawatan YAB Menteri Besar Johor ke SK Parit Nawi

Khamis, 25 Oktober 2007, YAB Dato Seri Abdul Ghani bin Othman, Menteri Besar Johor telah melawat pusat penempatan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Parit Nawi Muar jam 09.20 pagi. Lawatan ini telah diiringi oleh Pegawai Pelajaran Daerah Muar, Encik Mohd Yusoff bin Said serta Ketua-ketua Jabatan Daerah Muar.
Menurut Urusetia Pusat Penempatan Banjir, keadaan banjir tidak banyak berubah dan mangsa masih berada di pusat pemindahan dengan tiada apa-apa perubahan bilangan mangsa.

25 Oktober 2007

Data Penempatan Mangsa Banjir Sekolah Ahli Pada 25.10.2007, jam 09.45 pagi

Data Penempatan Mangsa Banjir Sekolah Ahli pada 25 Oktober 2007

PSS Cemerlang dan Banjir Kilat

Khamis, 25 Oktober 2007 - SK Parit Bulat, Muar adalah calon Anugerah PSS Cemerlang bagi Tahun 2007 peringkat Negeri Johor. Majlis penganugerahan akan berlangsung mulai jam 11.00 pagi ini di Permata Ballroom, Level B2, The Puteri Pacific, Kota Raya, Johor Bahru. Anugerah ini akan disampaikan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Mokhy bin Haji Saidon, Pengarah Pelajaran Johor. Sekolah ini mewakili daerah Muar dalam kategori Sekolah Kurang Murid. Pada tahun 2006, sekolah ini telah dianugerah Johan PSS Cemerlang Negeri Johor. Rakaman ini telah dijalankan pada jam 07.25 pagi di persekitaran SK Parit Bulat yang telah dilanda banjir kilat.

23 Oktober 2007

Banjir Kilat - SK Pt Nawi Pusat Pemindahan

Hujan lebat awal minggu ini (22 Oktober 2007) telah melanda kawasan pantai Selat Melaka mengakibatkan penduduk di kawasan Parit Bakar, Parit Jawa dan Sungai Balang terlibat dengan banjir kilat. Suasana ini telah dirakamkan oleh PKG Sungai Balang, Muar dengan kerjasama Pusat Kesihatan Parit Jawa, Muar pada jam 10.00 malam di penempatan mangsa SK Parit Nawi, Muar. Sejumlah 224 mangsa daripada 43 keluarga dari 3 buah kampong (Pt Salman, Pt Jamil dan Pt Nawi) telah ditempatkan di pusat pemindahan ini.

Ganjaran Setahun Dengan Amalan Puasa Enam

Nabi Muhammad SAW mahukan dari umatnya agar sentiasa peka dalam menambahkan koleksi pahala selepas puasa sebulan Ramadan, kerana bulan yang mulia ini adalah latihan untuk dibuktikan selepas ia melabuhkan tirainya.

Berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal di ketika ramai orang berseronok menjamah makanan yang lazat-lazat, memperlihatkan seseorang itu mengharapkan pahala satu tahun berpuasa, ini kerana dalam kalender Islam hanya tercatat 355 hari berbanding bulan Masehi 365.

Kalau seseorang itu melakukan 30 hari puasa Ramadan, setiap hari diganjari dengan 10 pahala, ia bermakna seseorang itu telah berpuasa 300 hari, ditambah dengan enam hari di bulan Syawal, ia akan menjadikan 360 hari bagaikan satu tahun pahala berpuasa.

Perkara ini disandarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sesiapa berpuasa di bulan Ramadan dan diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, maka ia adalah seperti berpuasa selama setahun." (Riwayat Muslim dan Imam Ahmad).

Khidmat Bantu Teknikal Modul Program "Sahsiah Unggul"

Mesyuarat Bantuan Teknikal Penyediaan Montaj Pelancaran Modul Program Sahsian Unggul Peringkat Kebangsaan Tahun 2007 telah diadakan di SMKA Maahad Muar. Mesyuarat ini telah melibatkan Pegawai Jabatan Pelajaran Johor (Sektor Pendidikan Islam dan Moral), lima orang Pegawai Teknologi Pendidikan Daerah Muar dan lima orang guru SMKA Maahad Muar. Mesyuarat telah diadakan pada hari Isnin, 22 Oktober 2007, di Bilik Gerakan SMKA Maahad Muar. Bahan modul dinilai dan dibuat penambahbaikan bagi tujuan dibawa ke mesyuarat peringkat kebangsaan pada jam 09.00 pagi hari Selasa, 23 Oktober 2007 di Jabatan Pelajaran Negeri Selangor. Pemurnian modul ini akan dijalankan mulai petang Isnin hingga hari Khamis, 25 Oktober 2007 di PKG Parit Bunga Muar. PTP PKG yang terlibat ialah Encik Mohd Arshad bin Haron, Encik Baharom bin Haron, Encik Aziz bin Atan, Encik Khalid bin Mohd Salleh dan Tuan Haji Sha'piee bin Ali.